Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Bacaan yang Sempurna…” - Ulama Qiraat Antarabangsa Kagum Bacaan Ustazah Malaysia, Saran Terus Sebar Ilmu Al-Quran

“bacaan yang sempurna…” - ulama qiraat antarabangsa kagum bacaan ustazah malaysia, saran terus sebar ilmu al-quranFoto: Instagram

Kesempurnaan dalam membaca Al-Quran bukan sekadar bergantung kepada kelancaran, tetapi menuntut ketelitian dalam menjaga hukum tajwid, makhraj huruf dan setiap sifat bacaan.

Advertisement

Keindahan kalam Allah SWT hanya dapat dizahirkan apabila ia dilafazkan sebagaimana yang dipelajari daripada sanad dan disiplin ilmu yang sahih.

Baru-baru ini, seorang guru tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Itqaan, Ustazah Radhiah Mohd Shafie menerima pujian istimewa daripada tokoh qiraat dunia, Sheikh Dr Ayman Rushdi Suwayd selepas memperdengarkan bacaan Al-Quran dalam sebuah program khas.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan di Instagram @mtitqaan, bacaan beliau dipersembahkan dalam program Musabaqah As-Sufara yang bertujuan mencungkil bakat pelajar serta memperkukuh keyakinan mereka membaca Al-Quran dengan tajwid dan tartil yang tepat.

Platform tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada peserta memperdengarkan bacaan, malah berperanan menyemai minat dan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda agar mereka bukan sekadar lancar membaca, tetapi memahami nilai seni dan disiplin ilmu tajwid.

Menurut kenyataan yang dikongsikan, Sheikh Dr Ayman menyifatkan bacaan Ustazah Radhiah sebagai luar biasa dari pelbagai sudut teknikal.

 

 

“Bacaan yang diperdengarkan adalah sangat sempurna. Daripada sudut makhraj huruf, sifat huruf serta sifat bagi setiap huruf secara berasingan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa ketelitian itu jelas kelihatan pada hukum yang terhasil daripada gabungan huruf seperti idgham, ikhfa’ dan iqlab.

“Selain itu, ketepatan tempoh ghunnah, pemanjangan mad serta kualiti waqaf dan ibtida’ juga sangat baik,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, ulama berkenaan tidak melepaskan peluang menyampaikan pesanan bermakna agar ilmu yang dimiliki terus dimanfaatkan untuk masyarakat.

“Alangkah baik jika anda mengajar Al-Quran. Mengajarlah. Ajarlah dan berilah manfaat kepada adik-adik muslimah anda di Malaysia,” katanya.

Pengiktirafan tersebut sekali gus memperlihatkan bahawa usaha melahirkan tenaga pengajar Al-Quran yang berkualiti di Malaysia mendapat perhatian dan penghormatan di peringkat antarabangsa.

Sumber: Instagram

GEGAR Today's Best Music