Foto sekadar hiasan
Penduduk di Terengganu mungkin perlu terus bersabar dengan cuaca panas yang sedang melanda negeri itu kerana keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga minggu pertama Aidilfitri.
Advertisement
Walaupun suhu maksimum yang dicatatkan sekitar 33 darjah Celsius, ramai orang merasakan bahang yang dialami jauh lebih tinggi daripada bacaan sebenar, malah ada yang merasakan seolah-olah mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata keadaan itu menandakan Malaysia kini berada di penghujung musim Monsun Timur Laut.
Menurut beliau, pada tempoh tersebut cuaca lazimnya menjadi lebih panas dan kering sebelum negara memasuki musim peralihan monsun.
Tambahnya lagi, situasi ini turut dipengaruhi oleh fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) yang ketika ini berada pada fasa kelima.
“Dalam fasa ini, rantau Malaysia cenderung mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan,” katanya.
Dr Chung menjelaskan gabungan faktor penghujung Monsun Timur Laut dan fenomena MJO menyebabkan keadaan panas yang dirasai sekarang menjadi lebih ketara.
Beliau turut berkata fenomena MJO boleh menyebabkan atmosfera menjadi lebih kering sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di beberapa kawasan.
Menurutnya, cuaca panas ini berkemungkinan berterusan sehingga minggu pertama Aidilfitri, namun keadaan sebenar masih bergantung kepada perubahan semasa dalam sistem atmosfera yang boleh berubah pada bila-bila masa.
Sumber: Berita Harian