Foto: Instagram
Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin menggesa orang ramai membuat dua perancangan awal bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini susulan tarikh sebenar masih menjadi tanda tanya.
Advertisement
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan orang ramai kelam-kabut sekiranya tarikh Aidilfitri berbeza daripada jangkaan awal.
Beliau berkata masyarakat boleh membuat persediaan untuk dua kemungkinan iaitu sambutan pada Jumaat, 20 Mac atau Sabtu, 21 Mac.
“Tahun ini elok kita buat dua perancangan, sama ada raya pada Jumaat (20 Mac) atau Sabtu (21 Mac). Bila sudah bersedia awal, kita tidak akan kalut,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
PU Amin turut mengingatkan bahawa penentuan Hari Raya Aidilfitri tidak bergantung kepada takwim semata-mata kerana tarikh dalam kalendar hanyalah ramalan.
Sebaliknya, tarikh sebenar ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan pada malam 29 Ramadan.
“Raya perlu ikut anak bulan. Apa yang ada dalam kalendar hanyalah jangkaan. Jadi sediakan dua perancangan dan terima keputusan dengan hati terbuka,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Negeri Perak menjelaskan bahawa takwim hijri yang diedarkan kepada orang ramai disediakan berdasarkan pengiraan awal sebagai panduan sahaja.
Penetapan rasmi Hari Raya Aidilfitri masih bergantung kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan sebelum diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Menurut jabatan itu, kedudukan hilal Syawal pada tahun ini juga dijangka lebih rendah berbanding beberapa tahun lalu, sekali gus menjadikan proses cerapan lebih mencabar berbanding situasi pada 2022.
Terdahulu, media sosial hangat memperkatakan kemungkinan Aidilfitri disambut sehari lebih awal iaitu pada 20 Mac selepas beberapa kalendar memaparkan tarikh tersebut sebagai hari raya.
Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang tidak mahu kejadian ‘raya mengejut’ seperti yang berlaku pada tahun 2022 berulang lagi.
Sumber: HibGlam