Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Terengganu Kompaun RM20, Kelantan Denda Hingga RM1,000 Jika Buang Sampah Selepas Berbuka

terengganu kompaun rm20, kelantan denda hingga rm1,000 jika buang sampah selepas berbukaFoto sekadar hiasan

Isu pembuangan sampah di lokasi tumpuan berbuka puasa mendorong pihak berkuasa tempatan di Terengganu dan Kelantan mengambil tindakan lebih tegas sepanjang Ramadan ini.

Advertisement

Di Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menetapkan kompaun serta merta RM20 kepada mana mana individu yang dikesan meninggalkan sampah dan sisa makanan di kawasan awam selepas berbuka.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah Pantai Batu Buruk, Jambatan Angkat Terengganu dan Dataran Shah Bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemantauan dijalankan termasuk menerusi operasi penyamaran bagi memastikan pesalah dapat dikenal pasti.

“Kita dimaklumkan sehingga kini lebih 10 individu yang dikesan meninggalkan dan melonggokkan sampah serta sisa makanan telah dikenakan tindakan serta merta.

“MBKT akan terus menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa untuk melakukan penyamaran bagi mengambil tindakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menambah, kemudahan seperti tong sampah telah disediakan secukupnya dan orang ramai sepatutnya lebih berdisiplin dalam menjaga kebersihan kawasan awam.

Sementara itu di Kelantan, kerajaan negeri memberi amaran lebih keras apabila denda sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam ketika berbuka puasa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata tindakan itu boleh diambil di bawah Undang Undang Kecil Mencegah Kekotoran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Tahun 2020.

“Sangat mendukacitakan apabila ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap merata selepas berbuka puasa sehingga mencacatkan pemandangan kawasan awam seperti di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh berhampiran Pasar Raya Lotus,” katanya.

Beliau mengakui berbuka di luar rumah sudah menjadi kebiasaan pada bulan Ramadan, namun menegaskan ia bukan alasan untuk meninggalkan bungkusan plastik dan sisa makanan sesuka hati.

“Sekiranya perkara ini masih berterusan, pihak berkuasa tempatan tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Menurutnya, selain kompaun, pihak berkuasa juga boleh mengarahkan penutupan kawasan terlibat kepada orang awam sekiranya keadaan tidak terkawal.

Hilmi turut menasihatkan orang ramai supaya menyusun sampah di tepi tong sekiranya tong sedia ada penuh bagi memudahkan kutipan, atau membawa pulang sendiri sisa makanan masing masing.

“Kami memohon orang ramai agar kekal menjaga kebersihan di tempat awam dan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan,” katanya.

Tindakan tegas kedua dua negeri itu dilihat sebagai usaha memastikan lokasi berbuka puasa kekal bersih dan selesa sepanjang Ramadan.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

GEGAR Today's Best Music